Powered by Blogger.

Huruf Tanwin

Wednesday 4 January 2012

HURUF TANWIN TERBAHAGI KEPADA 2 :



1)Bukan maqsur



Sama ada ianya maqsur (diakhiri dengan ya) ataupun bukan maqsur (tidak diakhiri dengan ya). Adapun yang bukan maqsur sama ada ia ditulis dengan alif ataupun tidak; adapun yang ditulis dengan alif Cuma satu jenis iaitu perkataan yang mansub, hujungnya bukan hamzah ataupun ta’ tanis. Contohnya seperti عليما . Adapun yang tidak ditulis dengan alif pada hujungnya ada 4 :



1. Kalimah mansub yang akhirnya hamzah – ماء



2. Kalimah yang diakhiri dengan ha ta’nis – رحمة



3. Kalimah yang majrur – من غفور



4. Kalimah yang marfu’ – بالمؤمنين رؤوف رحيم



Adapun huruf yang ditulis dengan alif pada hujungnya, padanya terdapat 4 mazhab :



1. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas huruf yang sebelum alif ( عليمًا), Inilah mazhab al-Khalil dan Sibaweih dan dipilih oleh sebahagian Masyariqah dan inilah yang diamalkan.



2. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas alif( عليماً ). Inilah yang dipilih oleh Syaikhan dan inilah yang digunapakai oleh Magharibah dan juga penduduk Madinah, Kufah dan Basrah.



3. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan tanda tanwin di atas alif ( عليمَاَ ).



4. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan ditarik ke belakang kembali serta diletakkan tanda tanwin di atas alif ( عليما )



Adapun pendapat yang ketiga dan yang terakhir itu adalah lemah.



2) Maqsur



Manakala, jika sesuatu kalimah itu maqsur, maka padanya terdapat 4 mazhab sepertimana yang terdapat pada perkataan ( عليما ) yang hujungnya alif sama ada perkataan itu marfu’( سحر مفترًى ), majrur ( في قرًى ) ataupun mansub( سمعنا فتًى ). Dan wajah yang terpilih dan diamalkan juga adalah sama seperti yang dibincangkan sebelum ini ( عليما ).



Manakala, pada kalimah yang seperti ماء adanya terdapat 3 mazhab :



1. Meletakkan hamzah selepas alif dan di atasnya tanda fatah dan tanwin. Inilah wajah yang terpilih dan digunapakai (ماءً )



2. Meletakkan hamzah selepas alif dan selepasnya diletakkan alif kecil dan diletakkan di atas alif kecil tersebut tanda fatah dan tanwin (ماءاً )



3. Meletakkan alif kecil sebelum alif dan di antara keduanya diletakkan hamzah, dan di atas hamzah diletakkan tanda fatah dan tanwin (مــــئًا )



Pendapat kedua2 mazhab yang akhir adalah dhoif dan tak digunapakai

Read more...

Jenis2 Baris

Baris itu terdapat 3 jenis : 1)Atas, 2) bawah dan 3)hadapan.



1)Baris atas : merupakan alif kecil yang diterlentangkan yang ditarik dari kiri ke kanan , iaitu (-)



Terdapat khilaf pada kedudukannya; ada yang mengatakan ia diletakkan di atas huruf yang berbaris atas dan pendapat inilah yang digunakan, ada juga yang mengatakan ia diletakkan di hadapan huruf tersebut dan ini merupakan pendapat yang dhaif.



Adapun baris atas itu merupakan alif yang dibaringkan adalah supaya tidak terkeliru di antara baris tersebut dan alif, dan ditulis kecil adalah untuk menunjukkan kelebihan yang asal daripada pecahan.



2)Baris depan : merupakan wau kecil dan terdapat perbezaan pendapat pada kedudukannya.



Dikatakan baris ini diletakkan di atas huruf yang berbaris hadapan, dan pendapat inilah yang digunakan, ada yang mengatakan diletakkan di hadapan huruf yang berbaris hadapan dan ada yang mengatakan diletakkan pada huruf yang berbaris hadapan dan ini merupakan pendapat yang dha’if.



Adakah kepala wau kecil tadi itu dikekalkan atau tidak ? Mazhab Masyariqah mengekalkan kepalanya dan pendapat inilah yang digunapakai ( ( و , manakala Mazhab Magharibah menghazafkannya, maka jadilah ia seperti huruf dal mu’wajjah ( د )



3)Baris bawah : merupakan ya yang diterbalikkan . Dan diletakkan di bawah huruf yang berbaris bawah selepas dibuang kepala ya yang terbalik tadi dan juga dua titiknya, maka jadilah ( - )



Maka ketiga-tiga baris ini diletakkan pada setiap huruf yang berbaris, sama ada baris itu adalah baris I’rab, Bina’, Baniyyah, Naql ataupun penyelesaian kepada pertemuan dua sukun. Kecuali pada huruf-huruf pembukaan surah, seperti الم، طه، ق dan sebagainya;



Maka amalan kami ahli Masyariqah adalah dengan tidak meletakkan baris di atasnya, adapun ahli Magharibah membariskannya seperti huruf-huruf yang lain.



Sekiranya sesuatu huruf itu tanwin, ditambahkan ke atas tanda baris satu lagi baris yang sepertinya; ditambahkan di atas fathah itu fathah, kasrah pada kasrah dan dhommah pada dhommah.

Read more...

Naqtul i'jam

TITIK(NAQT I’JAM)



Sesuatu tanda yang menunjukkan zat-zat hurufnya yang membezakan antara "mu'jamnya" dan "muhmalnya" seperti titik yang terletak pada "ba" di sebelah bawahnya dan juga "jim" dan dua titik "ta" sebelah atasnya dan begitulah seterusnya, maka titik pada huruf "ta" dan "tha" dan titik pada huruf "jim" itu membezakan dia dari huruf "ha".Titik-titik ini dipanggil
(Naqt ‘ijam)




Adapun noktah-noktah menurut maknanya yang kedua itu , maka pendapat ulama juga bersalah-salahan tentang siapa yang mula-mula merekanya. Pendapat yang paling rajih ialah "Nasr b.A'sim dan Yahya b. Ya'mur" iaitu tatkala terdapat ramai orang-orang baru dari bangsa-bangsa A’jam yang menganut agama islam, maka banyaklah berlaku salah sebutan dalam bahasa Arab dan sebutan-sebutan yang silap itu banyak digunakan orang.



Dari itu adalah sangat dibimbangi kalau-kalau kesilapan itu terserap ke dalam bacaan ayat-ayat suci Al-quran, lalu Amirul Mukminin Abdul Malik b.Marwan memerintah Gabenornya di Iraq yang bernama Hajjaj b.Yusof supaya berusaha bersungguh-sungguh menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan salah sebutan itu agar tidak tebawa-bawa ke dalam Al-quran.



Al-hajjaj pun menanggungkan tugas itu ke atas Nasr b.A'sim dan Yahya b. Ya'mur, dua orang pakar dalam bahasa Arab dan kesusasteraannya termasuk ilmu qiraat. Keduanya tidak dapat mengelakkan diri dari menerima tugas itu memandangkan kepada maslahat umum demi keutuhan kitab suci Al-quran. Mereka berdua pun mulai melaksanakan arahan itu dengan mencipta noktah-noktah untuk membezakan di antara huruf-huruf dan dengan demikian akan terpeliharalah Al-quran dari salah sebutan nahu. Noktah-noktah ini ditulis dengan dakwat yang warnanya bersamaan dengan warna tulisan mushaf itu supaya berbeza dari titik -titik yang direka oleh Abul Aswad Adduali.



KESIMPULANNYA


Diambil dari kisah ini dan kisah yang dahulu bahawa noktah-noktah menurut maknanya yang pertama itu adalah dahulu penciptaanya dari noktah-noktah menurut maknanya yang kedua,kerana zaman Ziad terdahulu dari zaman Al-Hajjaj kemudian dalam pemerintahan Abbasiah lahir imam Annahri Al-khalil b. Ahmad Al-basri . Beliau telah mengubah noktah-noktah yang direka oleh Abul Aswad dan dijadikan di atas bentuk yang digunakan sekarang.


Para ulama berkata tidak mengapa dilakukan yang demikian kerana ia menjadi cahaya yang dapat menerangkan para pembaca. Kemudian dilakukan pula pembaharuan dengan membubuh titik-titik di akhir ayat-ayat.

Read more...

Naqtul i'rab

Sesuatu tanda yang memberi "harakah" kepada huruf-huruf atau "sukun", "mad" dan sebagainya. Yang demikian adalah sama ertinya dengan makna yang pertama dari "titik" atau "noktah" tadi. Baris ini dipanggil “naqt i’jam”



PENDAPAT ULAMAK


Pendapat ulama berselisihan di atas banyak qaul untuk menentukan siapa yang mula mencipta titik-titik di atas dua makna yang diterangkan di atas itu. Adakah penciptanya dengan dua maknanya itu seorang individu sahaja ataupun berlainan orangnya?



Yang mana satu antara keduanya yang lebih dahulu dicipta?
Para ulama yang berteliti lebih condong mengatakan bahawa pencipta titik menurut maknanya yang pertama ialah Abul Aswad Adduali.



Menurut cerita mengenainya bahawa Amirul Mukminin Muawiyah bin Abi Sufiyan telah menulis kepada Gabenor Ziad yang menjadi gabenor Basrah waktu itu meminta beliau arahkan anaknya Ubaidillah b. Ziad datang mengadapnya. Beliau dapati dalam pertuturannya beberapa kesalahan dalam tatabahasa.



Muawiyah telah menghantar Abdullah pulang dan bersamanya sepucuk surat kepada ayahnya.Di dalamnya Ziad dikecam kerana membiarkan anaknya bertutur tanpa menurut tatabahasa yang betul.Setelah membaca surat itu Ziad pun memanggil Abul Aswad seraya berkata kepadanya "sesungguhnya bangsa-bangsa A'jam itu telah merosakkan bahasa Arab".



Tidakkah mahu anda mereka sesuatu yang dapat orang ramai mengawal bahasa mereka dengan baik dan membaca dengan betul ayat-ayat suci Al-Quran.Tetapi Abul Aswad enggan memenuhi permintaan itu dengan sesuatu sebab yang tertentu.Lalu Ziad menyuruh seorang lelaki duduk ditepi jalan menunggu Abul Aswad lalu katanya kepada orang itu :



"bila Abul Aswad lalu di hadapanmu, hendaklah kamu baca sesuatu dari ayat Al-Quran dan buat-buat silap dalam bacaan itu".



Orang itu pun duduk di tepi jalan yang selalu dilalui oleh Abul Aswad.
Apabila dia melihatnya melintas di situ dia pun membaca surah at-taubah dengan membaca "rasulihi" bukan dengan "rasuluhu"(menurut baris yang betul).



Tatkala Abul Aswad mendengar bacaan itu dia rasa terperanjat dan terharu. Beliau pun tergesa-gesa berjumpa semula dengan Ziad seraya berkata :"Baiklah ! saya sanggup memenuhi permintaan anda. Saya fikir baik saya mulakan dengan "mengi'rabkan" Al-Quran, ertinya membetulkan bacaan supaya tidak berlaku "lahan".



Selepas itu Abul Aswad telah memilih seorang lelaki dari qabilah Abul Qais seraya berkata kepadanya: "engkau bawa semua mushaf dan suatu bekas berisi cat yang warnanya berlainan dari warna mushaf itu. Bila aku membuka kedua bibirku letakkan titik sebelah di atas huruf itu dan bila aku himpunkan keduanya hendaklah anda letakkan titik sebelah depannya dan bila aku pecahkan dia letakkan satu titik sebelah bawahnya. Bila aku turutkan "harakah" itu dengan dengung ,(tanwin),letakkan dua titik" .
Beliau telah memulakan usaha itu dari awal mushaf sehingga akhirnya.



ORG PERTAMA

Diambil dari cerita tersebut bahawa orang yang mula-mula mereka titik - titik (syaklu) atau (dabthu) ialah Abul Aswad Adduali ,daripadanya timbul berbagai-bagai rekaan baru yang dicipta oleh para ulama yang kemudian dengan memasukkan pada yang asal banyak perubahan yang sesuai .

Read more...

Muqaddimah

Tuesday 3 January 2012

ASAL USUL TITIK DAN BARIS DALAM AL-QURAN.



Dhobt dari segi bahasa : Menyampaikan tujuan dalam melakukan sesuatu.

Dari segi istilah : Ilmu yang membincangkan tentang segala yang berkaitan dengan huruf sama ada baris, sukun, sabdu, mad dan lain-lain.


Sesungguhnya titik itu membawa dua pengertian yang perlu diketahui oleh kita semua :



Pertama:

Sesuatu tanda yang menunjukkan "harakah" (baris), "sukun" (baris mati), "syad"(sabdu), "mad"(panjang) atau sebagainya. Titik-titik ini dipanggil oleh setengah orang dengan (Naqt i’rab)



Kedua :

Sesuatu tanda yang menunjukkan zat-zat hurufnya yang membezakan antara "mu'jamnya" dan "muhmalnya" seperti titik yang terletak pada "ba" di sebelah bawahnya dan juga "jim" dan dua titik "ta" sebelah atasnya dan begitulah seterusnya,maka titik pada huruf "ta" dan "tha" dan titik pada huruf "jim" itu membezakan dia dari huruf "ha".Titik-titik ini dipanggil (Naqt ‘ijam)

Read more...

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP